Pengenalan
Dalam peringkat Asas & Jatuh, sebelum diperkenalkan dengan buah-buah yang terdapat dalam Silat Cekak Hanafi, penuntut akan diajarkan dulu asas membuat buah, iaitu dengan mempelajari tentang kaedah-kaedah yang terdapat untuk membuat buah Silat Cekak Hanafi. Selepas penuntut-penuntut diajar dengan kaedah, barulah penuntut akan mula diajar tentang buah-buah untuk mempertahankan diri. Terdapat 21 buah untuk mempertahankan diri yang akan diajar kepada penuntut. Semasa Ustaz Hanafi mengambil silat ini kembali daripada Pak Yah, buah-buah yang diajarkan adalah sebanyak 28 buah. Tetapi setelah dikaji dan diteliti oleh Ustaz Hanafi, beliau hanya mengekalkan 21 buah sahaja, dan meninggalkan 7 buah yang lain kerana didapati boleh membahayakan pengamal; buah-buah tersebut juga merupakan kaedah silat pencak atau tari yang tidak dapat dipertanggungjawabkan untuk mempertahankan diri.
Semua nama buah merupakan nama asal yang diberitahu sendiri oleh guru dari mulut ke mulut. Ustaz Hanafi tidak mereka-reka atau memberi nama buah-buah tersebut. Walaupun ada percubaan untuk menukarkan nama-nama buah kepada nama angka, misalnya buah satu, buah dua, tetapi tidak kekal. Nama asalnya juga yang dihayati dan digunakan sehingga ke hari ini. Percubaan memberi nama buah berdasarkan nama angka adalah semata-mata untuk menghilangkan sensiviti orang ramai terhadap nama asal buah-buah ini kerana terkaitnya nama-nama Silat Melayu lain dalam nama buah-buah tersebut.
Pengajaran buah-buah peringkat ini dibahagikan kepada bahagian asas, dan bahagian jatuh. Pembahagian pengajaran kepada dua bahagian ini dapat memudahkan penuntut untuk membuat kaedah kaedah tersebut secara tepat dan selamat. Ia juga menjadikan proses pembelajaran tidak membahayakan pengamal, sehinggakan wanita-wanita juga dapat melakukannya dengan penuh keyakinan.
Buah Asas
Buah asas adalah pergerakan kaedah yang merupakan sambungan daripada kaedah. Adakalanya buah-buah tersebut berasas daripada satu kaedah asas dan adakalanya ia merupakan sambungan gerakan yang berpunca daripada campuran daripada kaedah kaedah asas. Pada peringkat ini tangan dan kaki sama-sama digunakan untuk menangkis serangan lawan. Ini bermakna pada peringkat ini penuntut-penuntut berupaya untuk menghindarkan serangan lawan tetapi masih belum diajar kaedah-kaedah pukulan dan kuncian yang intensif.
Di peringkat asas Silat Cekak Hanafi, setiap buah mempunyai 2 atau 3 pergerakkan serentak yang akan dilakukan. Kebiasaannya pergerakkan ini melibatkan gabungan gerakkan kaki dan tangan sekali. Pada permulaan, penuntut mungkin akan mengalami kesukaran untuk membuat 2 – 3 pergerakkan serentak yang diajarkan, mungkin oleh kerana rasa kekok atau tidak biasa. Namun dengan latihan dan pengulangan buah, penuntut akan mula berasa yakin dan boleh mengerakkan kaki dan tangan dengan serentak mengikut apa yang telah diajarkan.
Buah Jatuh
Peringkat buah jatuh merupakan sambungan kepada peringkat buah asas. Apabila penuntut telah mahir membuat buah-buah asas maka ia memudahkan mereka membuat buah-buah jatuh. Pada peringkat ini setiap buah akan diajar hingga sempurna termasuk teknik-teknik pemakan dan kunciannya sekali. Ini bermakna bahawa semua buah mempertahankan din Silat Cekak Hanafi mempunyai tangkisan, pukulan dan kunciannya sekali. Sebagai info lanjut, sesuatu kaedah itu tidak boleh dipanggil buah sekiranya ia tiada teknik pukulan dan kunciannya.
Semasa membuat buah jatuh ini, penuntut, mesti tahu natijah dan cara melakukan semua buah jatuh. Buah jatuh ini telah dicipta oleh pengasas silat ini dengan sungguh teliti dengan mengambil kira faktor masa, kesesuaian pergerakan anggota, ketepatan serta kebijaksanaan untuk menyempurnakan buah-buah jatuh tersebut.