Penyelia Kelas Silat Cekak Hanafi Shah Alam

Mohd Izlan Bin Abd Halim telah berkecimpung dalam Silat Cekak Hanafi sejak tahun 2014 lagi, di mana beliau telah melanjutkan pelajarannya di peringkat Ijazah Sarjana Muda dan juga telah memulakan pelajaran dalam seni bela diri Silat Cekak Hanafi. Sebelum menyertai Silat Cekak Hanafi, Mohd Izlan telah memutuskan untuk menjadikan Silat Cekak Hanafi sebagai seni bela dirinya yang pertama untuk dipelajari pada umur 19 tahun. Tujuannya adalah kerana beliau ingin memelihara seni warisan asli Melayu yang masih ada dan yakin bahawa Silat Cekak Hanafi ini adalah seni bela diri yang betul-betul efektif.

Setelah memulakan perjalanannya dalam Silat Cekak Hanafi, Mohd Izlan terus maju ke hadapan dan mula berminat untuk meneruskan usaha Al-Marhum Ustaz Hj. Hanafi Haji Ahmad dalam mengembangkan lagi Silat Cekak Hanafi. Justeru, selepas Mohd Izlan telah mengambil ujian Sijil Rendah Persilatan pada tahun 2016, beliau telah berusaha keras untuk menjadi seorang jurulatih kelas dan membantu kelas di Universiti Kebangsaan Malaysia daripada tahun 2016 sehingga 2017. Dalam masa itu, beliau turut juga aktif membantu kelas di Akademi Silat Cekak Hanafi PKNS, di Shah Alam.

Setelah bergraduasi daripada Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 2018, Mohd Izlan telah menukar sasarannya untuk membantu kelas yang baru dibuka di Shah Alam, iaitu kelas Silat Cekak Hanafi Masjid Al-Hidayah, di mana penyelia ketika itu, Mohd Shahril hanya menjalankan kelas tersebut seorang diri. Dengan berkat usaha dan tenaga yang diberikan oleh Mohd Izlan dalam membantu kelas Masjid Al-Hidayah, beliau telah dilantik menjadi penyelia kelas tersebut bermula daripada 26 Januari 2019.

Sepanjang tugasnya sebagai seorang penyelia, beliau telah mengajar 27 pelajar peringkat Asas / Jatuh, 8 pelajar peringkat Potong, dan juga 6 pelajar peringkat Tamat / Umum. Mohd Izlan juga telah mengeluarkan 3 orang ahli Silat Cekak Hanafi daripada kelas Silat Cekak Hanafi Shah Alam yang telah mengambil Sijil Rendah Persilatan, iaitu satu pencapaian peribadi yang dikira berharga olehnya kerana ini merupakan kali pertama kelas tersebut telah menghantar ahli untuk mengambil ujian tersebut.

Tidak dilupakan juga, Mohd Izlan telah berusaha keras untuk menghantar wakil daripada kelas Silat Cekak Hanafi Shah Alam untuk menyertai Kejohanan Wajadiri Nasional 2019, iaitu merupakan penyertaan pertama juga daripada kelas Silat Cekak Hanafi Shah Alam. Walaupun menghadapi kekangan ahli dan juga tenaga pengajar, namun kelas Silat Cekak Hanafi Shah Alam di bawah seliaan Mohd Izlan berjaya memenangi 3 anugerah perak dalam ketiga-tiga kategori yang merek sertai, dan memperoleh tempat ke-3 keseluruhan dalam kategori kelas awam.

Beliau telah mensasarkan untuk menyertai Kejohanan Wajadiri Nasional 2020 dan memperoleh sekurang-kurangnya 3 pingat emas, 3 pingat perak, dan 3 pingat gangsa dalam 9 kategori yang dipertandingkan. Namun begitu, tarikh Kejohanan Wajadiri Nasional 2020 pada 15 Mac 2020 telah ditangguhkan oleh kerana arahan Perdana Menteri ketika itu untuk mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan ketika pandemik Covid-19 melanda negara ketika itu.

Walaupun banyak kekangan yang dihadapi, namun begitu, Mohd Izlan masih komited dalam menjalankan kelas di Silat Cekak Hanafi Shah Alam, dan akan terus komited dalam persilatan ini selagi diberi peluang.