Assalamualaikum semua!
Konsep seni mempertahankan diri dalam topik ini tidak dikaitkan dengan seni tarian. Tetapi janganlah pula dikatakan tiada persamaan antara seni tari dengan seni silat yang mengandungi unsur-unsur keindahan pergerakan tubuh yang harmoni. Jadi, timbul di sini satu persoalan; di manakah seninya dalam ilmu silat? Dalam silat seninya bukan kerana tariannya sahaja, akan tetapi silat harus dilihat daripada segi anggunnya pergerakan silat itu sendiri semasa sedang mempertahankan diri.
Hal ini dapat dilihat oleh pergerakan yang dipanggil buah. Jadi, bukan sahaja fleksibiliti gerak silat itu yang dianggap “seni”, tetapi termasuk juga pada masa pesilat mengerahkan tenaganya. Tidak melupakan juga saat ia menunjukkan kelincahan dan ketangkasannya. Bagaimana pengamal silat menyesuaikan irama gerakannya, seperti bagaimana dia melambatkan pergerakan pada saat ia melakukan langkah tertentu. Atau bagaimana dia mempercepatkan gerakannya waktu dia menyerang dengan tangan dan kakinya.
Silat Sebagai Seni Bela Diri
Silat merupakan seni mempertahankan diri yang berkualiti tinggi, di mana silat boleh diklasifikasikan sebagai salah satu seni bela diri yang berbahaya di taraf antarabangsa. Silat juga tidak terhad kepada penggunaan tangan atau kaki sahaja, sama ada dalam menyerang mahupun bertahan. Daripada kepala, bahu, siku, lengan, telapak tangan, jari, pinggang, punggung, paha, lutut, tulang belakang, pergelangan kaki, tumit, jari kaki, kesemuanya dapat digunakan oleh seorang pengamal silat untuk mempertahankan dirinya atau untuk menyerang musuh. Jadi, tidak perlu kita katakan bahawa silat ini bukan seni bela diri yang bagus berbanding dengan seni bela diri lain. Tetapi, perlulah kita mencuba sendiri seni ini untuk tahu bagaimana rasanya.