Assalamualaikum semua,
Pada pagi yang mulia ini, admin ingin berkongsi sikit apa yang admin ada kaji sikit, tentang berdiri lurus Silat Cekak Hanafi. Agak panjang sikit post kali ini, harap-harap dapatlah korang hadamkan isinya ya.
BERDIRI LURUS
Bagaimana rupanya berdiri lurus?
Berdiri lurus adalah pendirian sembahyang, di mana antara tapak kaki kanan dengan yang kiri tidak terlalu renggang dan tidak terlalu rapat. Pendirian yang sedemikianlah juga digunakan oleh Silat Cekak Hanafi dalam mempertahahankan diri daripada serangan. Dengan pendirian lurus tegak inilah maka ramai orang yang mengatakan di situlah kelemahan Silat Cekak Hanafi. Tetapi jika dikaji dengan mendalam, maka sebenarnya di situlah punca kekuatan Silat Cekak Hanafi.
Pendirian lurus membawa beberapa pengertian dan kegunaan secara lahir mahupun secara falsafah:
1. KUAT
Banyak yang masih mempersoalkan bahawa berdiri lurus adalah berdiri yang lemah, berdiri yang kuat adalah berdiri cara kuda-kuda. Sebenarnya berdiri kuda-kuda ini adalah pendirian yang bengkuk. Adakah sesuatu yang bengkuk itu kuat dari yang lurus? Kalau misalnya kita pergi ke hutan untuk mencari kayu, maka sangatlah sukar kita mencari kayu-kayuan yang lurus, tetapi yang bengkuk amatlah mudah. Tetapi kayu yang lurus itu boleh dibuat bermacam-macam, tiang rumah, meja, kerusi dan berbagai lagi. Tetapi kayu bengkok cuma sesuai dibuat kayu api saja. Di sini jelas bahawa sesuatu yang lurus banyak kegunaannya dari bengkuk.
Begitu juga halnya dengan pendirian yang lurus. Kerana berdiri lurus boleh dijadikan permulaan bagi segala pergerakan. Baik pergerakan ke hadapan, pergerakan ke kiri, ke kanan serta pergerakan ke belakang. Oleh sebab itulah pendirian lurus digunakan dalam Silat Cekak Hanafi, kerana dengan pendirian tersebut pengamal Silat Cekak Hanafi telah bersedia untuk menunggu serangan dari hadapan, kiri, kanan, mahupun daripada belakang.
2. TIDAK MAHU GADUH
Berdiri lurus juga adalah berdiri yang normal bagi manusia. Manusia jika bercakap tatkala berdiri adalah di atas pendirian yang lurus (normal), bukannya atas pendirian yang bengkuk (pendirian yang dipaksa-paksa). Jadi kalau belajar silat dengan pendirian lurus maka pengamalnya dapat bersedia sepanjang waktu tanpa diketahui oleh orang. Sebaiknya jika sedang menghadapi musuh, musuh tidak tahu helah kita. Kerana dilihatnya pendirian kita seperti pendirian orang yang tidak mahu bergaduh. Sekiranya kita menggunakan pendirian kuda-kuda, musuh akan dapat mengetahui akan tipu helah kita. Mereka dapat baca mana tangan atau kaki yang mati dan yang mana yang hidup.
3. RAPAT
Pendirian lurus itu adalah pendirian yang paling rapat. Dalam Silat Cekak Hanafi, pendirian sedemikian sudah cukup untuk mengawal seluruh anggota. Dengan berdiri lurus sahaja pengamal Silat Cekak Hanafi sudah ada empat kaedah yang sentiasa tersedia untuk mempertahankan diri, iaitu kaedah-kaedah A, B, C, dan D yang cukup untuk mengawal empat kerat anggota manusia sebagaimana pendirian lurus diambil daripada gerak-geri solat, manakala kaedah A, B, C, dan D diambil dari perbuatan solat juga. Kaedah A daripada doa. Kaedah B daripada Qiam. Kaedah C daripada rukun dan kaedah D daripada takbir.
4. KAJIAN
Hujah di atas adalah sesuatu yang dapat di bincangkan secara akademik. Kajian-kajian telah dibuat oleh kita tentang baik dan buruk segala macam pendirian dalam usaha-usaha untuk mempertahankan diri. Dengan keyakinan yang penuh, kami daripada Silat Cekak Hanafi menerima hakikat pendirian lurus adalah pendirian yang ideal bagi mempertahankan diri. Pendirian jenis ini adalah pendirian yang penuh makna disebalik kegunaannya dalam usaha-usaha mempertahankan diri.
Sekian dan terima kasih.